Dear Readers,

Salam & Good day to all... I hope you'll have fun reading and probably collect something useful here. I welcome all comments & commends. Please don't be anonymous. I'd like to know my visitors :)

"La Tahzan, InnaAllaha ma'ana" (Al- Quran: Surah At- Taubah- Verse 40)
Translation: "Be not sad (or afraid), surely Allah is with us."

"All that is necessary for the triumph of evil is that good men do nothing." ~Edmund Burke~

'It's not what the world holds for you, but what you bring to it' ~Anne of Green Gables~

Sunday, April 22, 2012

Al-Haramain: Satu Pengalaman Perjalanan Umrah

*In Malay


Al-Haramain... dua kota suci. Akhirnya, saya dapat memenuhi undangan menjadi tetamu Allah, menjejakkan kaki ke kota Mekkah & Madinah. Sebelum saya benar- benar tiba di sana, sebelum Kaabah belum betul- betul di hadapan mata, doa saya kepada Allah, undangan yang telah diutuskan kepada saya, janganlah ditarik balik. Saya benar- benar ingin menjadi tetamu Yang Esa.

Bukit-bukit berbatu di padang pasir...
Syukur, Alhamdulillah. Ibadah umrah telah saya laksanakan. Doa saya, semoga ibadah umrah yang telah saya tunaikan hampir sebulan lalu diterima oleh Allah s.w.t. Walaupun rasanya ada kekurangan dalam ibadah umrah saya, saya tetap berdoa semoga saya mendapat umrah yang maqbul dan semoga ibadah saya di 2 kota suci itu akan memberi kesan dalam kehidupan saya sehari- hari, di dalam segala segi. Saya berharap untuk menjadi seorang insan yang lebih berkualiti :) Insan yang berusaha bersungguh- sungguh untuk menjadi hamba Allah yang dirahmati.

Gambar lama Kaabah di Muzium Mekkah

Pengalaman ke 2 kota suci adalah satu pengalaman manis yang tak mungkin dapat dilupakan. Bahkan, ia membuahkan satu kerinduan yang tidak dapat ditafsirkan. Patutlah setiap orang yang pernah menjejakkan kaki ke Mekkah & Madinah, sering berharap akan dapat kembali ke sana. Gambaran Masjid Nabawi & kubah hijaunya, gambaran Kaabah & Masjidil Haram masih segar diruang ingatan. Terasa rindu kepada suasana beribadah di sana. Walaupun ada cabaran- cabarannya, tetapi yang terpahat di hati & ingatan hanyalah yang indah- indah sahaja :)

Kali ini, saya akan kongsikan pengalaman mengerjakan umrah saya & juga beberapa tip- tip yang saya rasakan penting & berguna kepada semua yang bakal menunaikan Umrah.


Persediaan sebelum menunaikan Umrah:

1. Dari segi Ibadah, akhlak & kerohanian:
Pintu Abdul Aziz pada waktu Subuh
  • Saya mengikut nasihat Emak & beberapa orang sahabat yang pernah sampai ke dua kota suci, serta teman- teman yang bakal menunaikan umrah dalam jangkawaktu yang sama.
  • Nasihat Emak, banyakkan solat- solat sunat, terutamanya Tahajud & Taubat. 3-4 bulan sebelum tarikh umrah saya, Emak sering mengingatkan supaya rajin bangun malam untuk berqiyamullail.
  • Teman- teman pula menasihatkan supaya rajin- rajinlah berpuasa sunat & jika ada puasa wajib yang masih belum diganti, gantilah sebelum menjejakkan kaki ke tanah suci.
  • Mereka juga menasihatkan supaya saya mula melatih diri supaya banyak bersabar & mengurangkan marah :) Secara kesimpulannya, proses penyucian diri sepatutnya bermula lama sebelum kita sampai ke Mekah & Madinah.
  • Fahamkan dengan jelas cara- cara serta bacaan untuk solat Jama' Qasar, solat Jenazah serta solat- solat sunat.
  • Lancarkan bacaan semasa tawaf & sai'. Memang benar kita tidak perlu menghafal doa- doa untuk tawaf & sai' seperti yang ditulis didalam buku panduan umrah. Tetapi, jika kita hayati doa- doa tersebut, ia adalah doa- doa yang baik. Jika dapat dibaca, rasanya lebih baik. Lancarkan doa- doa itu supaya kita tidak tergagap- gagap membacanya sewaktu tawaf & sai'. Tetapi, sekadar membaca maksud doa- doa tersebut juga boleh. Mengikut pengalaman saya, membaca maksud doa, lebih terkesan di hati. Kita juga boleh berzikir (tahlil/tasbih/tahmid/takbir) sewaktu menunaikan ibadah tawaf & sai'.
  • Fahamkan dengan jelas cara- cara menunaikan umrah, niatnya, larangan- larangan sewaktu di dalam ihram, cara- cara tawaf, cara- cara sai', cara- cara bertahallul supaya kita tidak ragu- ragu dalam beribadah dan supaya kita tidak hanya mengikut- ikut atau terikut- ikut apa yang orang lain lakukan.
  • Bacalah buku 'Travelog Haji' oleh Muhammad Kamil Ibrahim. Buku ini sarat dengan panduan dan peringatan buat bakal- bakal tetamu Allah s.w.t.

2. Dari segi kesihatan & kecergasan:

  • Mulalah bersenam. Berjalan perlahan- lahan ditaman sudah cukup. Sekadar untuk membiasakan diri dengan aktiviti berjalan kerana kita akan banyak berjalan sewaktu di Mekah & Madinah. Berulang- alik ke masjid, tawaf & sai'.

3. Pakaian yang hendak dibawa:
  • Ramai yang menasihatkan saya supaya tidak perlu membawa banyak pakaian kerana kita boleh membeli pakaian dengan harga murah sewaktu di Mekkah & Madinah. Tetapi bagi saya, lebih baik kita membawa pakaian yang cukup. Kita ke tanah suci adalah untuk fokus kepada beribadah, bukannya membeli belah. Bukan tidak boleh untuk membeli- belah, tetapi itu bukanlah keperluan utama :) Jadi, nasihat saya bawalah pakaian yang cukup. Cuaca disana menyebabkan badan tidak berpeluh atau berbau. Pakaian boleh dipakai lebih daripada sehari. Tetapi, demi menjaga kebersihan, cukuplah dipakai untuk dua hari, janganlah sampai berhari- hari :) Kalau memilih untuk menghantar pakaian ke kedai dobi juga boleh. Harganya juga tidak mahal.
  • Buat jemaah wanita, bagi saya berjubah & berseluar panjang adalah lebih praktikal. Seluar yang hujungnya kuncup adalah lebih baik kerana ia tidak mudah terselak. Sekiranya memakai seluar yang hujungnya lebar, pakailah stokin yang panjang :)
  • Stokin pula, pakailah stokin yang tebal. Mengikut pengalaman saya, stokin yang panjang hingga ke pergelangan kaki lebih praktikal. Kadangkala, sewaktu di Masjidil Haram, kita hanya mengambil wudhu di paip air zam- zam kerana bilik air jauh di luar masjid. Di kawasan paip air zam- zam pula, terdapat jemaah lelaki lalu- lalang di situ. Agak sukar untuk memakai semula stokin yang panjang dengan adanya jemaah lelaki kerana stokin panjang perlu ditarik lebih tinggi :)
  • Tudung, pastikan labuh menutup dada & tidak jarang. Tidak perlulah terlalu berfesyen. Sederhana sudah cukup.
  • Bawalah pakaian- pakaian yang menutup aurat dengan sempurna & 'syariah compliant', bak kata Miss N :)


Di Masjid Nabawi:

Suasana redup yang menenangkan :)
  • Masjid Nabawi adalah sebuah masjid yang menenangkan, luas & cantik. Ada payung- payung automatik yang akan dibuka ketika cuaca panas. Menunggu payung- payung tersebut terbuka sudah cukup mengasyikkan :) Apatah lagi apabila ia sudah terbuka sepenuhnya. Cantik!
  • Di Masjid Nabawi, kawasan solat lelaki & wanita diasingkan dengan jelas dan ada polis- polis yang menjaga supaya tidak ada jemaah lelaki yang dapat masuk ke kawasan solat wanita. Selepas pintu masuk utama menuju ke ruang solat, tong air zam-zam ada dikiri & kanan.
  • Dewan solatnya luas, tetapi masih tidak cukup menampung jumlah jemaah yang ramai. Sesiapa yang terlambat, terpaksalah bersolat diluar. Pengajarannya, datanglah awal ye :)
  • Berkunjung ke Makam Rasullullah s.a.w, Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Umar r.a & Raudhah adalah satu pengalaman yang mencabar dan tidak dapat dilupakan. Waktu untuk jemaah wanita berkunjung ke tempat- tempat ini yang letaknya didalam Masjid Nabawi adalah selepas waktu Subuh, Zuhur & Isya'. Sekiranya mahu, tunggulah didalam masjid setelah tamat tiga waktu solat ini. Polis- polis akan memberikan arahan & menentukan giliran masuk. Ikutlah arahan mereka, jangan berebut, banyakkan bersabar, tolak- ansur & hormat menghormati. Apabila mendapat peluang untuk bersolat & berdoa di Raudhah, janganlah lama- lama kerana masih ramai lagi yang menunggu.
  • Sebelum meninggalkan Madinah, jangan lupa mengucapkan selamat tinggal kepada Rasullullah s.a.w walaupun sekadar mengucapkannya dari luar masjid, menghadap ke kubah hijau, tempat letaknya makam baginda & dua sahabatnya.
Cantik kan?


Di Masjidil Haram:
Pemandangan Masjidil Haram & persekitarannya.
  • Masjidil Haram sangat besar & bertingkat- tingkat. Tawaf & sai' boleh dilaksanakan di setiap tingkat. Ruang solat wanita diasingkan dengan ruang solat lelaki oleh rak- rak Al-Quran. Walau bagaimanapun, kadangkala terdapat juga jemaah lelaki berehat bersama isteri di ruang solat wanita. Sesuatu yang tidak patut dilakukan dan seperti tidak menghormati hak orang lain.
  • Tandas hanya terdapat diluar masjid. Tetapi jika terbatal wudhu' kita dibenarkan berwudhu' di paip- paip air zam- zam. Cuma kena lebih berhati- hati hal aurat.
  • Datanglah awal sekiranya mahu duduk di saf depan atau pun dikedudukan yang strategik. Jangan sampai mengganggu keselesaan jemaah yang ada disitu, sekiranya masih ada ruang, berilah laluan kepada jemaah yang sedang mencari tempat. 


Tempat- tempat lawatan di Madinah:
  • Masjid Quba', Gunung Uhud, Bukit Pemanah, Ladang Kurma, Perkuburan Baqi'.
Untung rasanya dapat menjejakkan kaki ke tempat- tempat bersejarah dalam Islam. Kalau dapat membaca sedikit sebanyak tentang sejarah tempat- tempat ini sebelum pergi, lebih mendalamlah penghayatan kita. Mata mutawwif yang merupakan pelajar Malaysia di Madinah seperti bergenang dengan airmata sewaktu menceritakan tentang kisah Perang Uhud & bagaimana syahidnya Saidina Hamzah r.a serta syahidin- syahidin yang lain menyebabkan saya sendiri terasa seperti hendak menangis.

Hebatnya iman para sahabat... dapat tercapaikah oleh kita tahap iman seperti mereka?

Pemandangan Jabal Uhud & makam para syuhada dari atas Bukit Pemanah.

Tempat- tempat lawatan di Mekkah: 
  • Gua Tsur, Jabal Nur, Ladang Unta, Masjid Hudaibiyah, Muzium Mekkah
Kisah tentang hijrah Rasullullah s.a.w dan Saidina Abu Bakar ketika memanjat dan bersembunyi di Gua Tsur amat menyentuh hati. Pengorbanan Saidina Abu Bakar r.a, Saidina Ali r.a serta Saidatina Asma' dalam memastikan keselamatan & kejayaan hijrah Rasullullah s.a.w membuatkan saya tertanya- tanya setebal itukah keimanan saya?

Betapa Rasullullah s.a.w., ahli keluarganya dan seluruh para sahabat berkorban nyawa & harta benda demi menegak & mengembangkan syiar Islam.

Di puncak tinggi itulah Gua Tsur...

Makan malam di kaki Jabal Nur, yang dipuncaknya terletak Gua Hira adalah satu pengalaman yang menarik. Kedinginan padang pasir pada waktu malam sangat menyamankan. Dipanaskan pula dengan nasi Arab berlauk kambing serta buah- buahan & manis- manisan... hmmm...

Sayangnya, kami tidak berpeluang untuk ke Gua Hira'.

Jabal Rahmah

Excited dapat bermesra dengan unta :P


Makanan di Mekkah & Madinah:

  • Kurma Ajwa (Kurma Nabi), kurma yan kecil dan berwarna hitam. Kurma kegemaran Rasullullah dan dapat menjadi penawar racun.
  • Air Zam Zam - bekalan yang tidak pernah kurang, boleh dipilih antara sejuk atau tidak. Jangan lupa sertakan dengan doa sewaktu minum air zam- zam kerana kesannya adalah bergantung kepada doa kita.
  • Nasi Arab - Nasi Arab yang dihidangkan dalam perjalanan menuju Mekah begitu lazat sekali! Tidak begitu berminyak & sangat menyelerakan!
Tengok gambar je dah kecurrrr air liur... nyum nyum...
  • Buah- buahan terutamanya buah 'plum' di Mekah & Madinah, sangat manis! Saya sangat suka!
  • Teh jenama 'Golden leaf''... dihidangkan panas &pekat. Rasanya amat menyamankan. Teman saya Miss T mengatakan masalahnya seperti hilang apabila minum teh tersebut. Hihihiii...
  • Jus buah- buahan, terutamanya jus mangga... mesti cuba! Tapi, boleh menyebabkan demam. So, jangan minum banyak- banyak :)
  • Aiskrim... mesti cuba! Lazat!
Sarapan pagi ala Arab... agak kering... tapi, sedap jugak :)

Jus yang sangat lazat. Mesti cuba!

Shopping di Mekkah & Madinah: 

Telekung, sejadah, tudung, minyak wangi, tasbih, inai, celak, pelbagai jenis jubah, pelbagai corak abaya... Macam- macam adaaaaa... cuma berhati- hatilah... jangan lupa tujuan utama kita ke tanah suci :)


Pengalaman yang tidak dapat dilupakan:

  • Pada satu waktu solat Subuh di Masjid Nabawi, Imam menangis teresak- esak ketika membaca satu surah yang saya tidak pasti surah apa. Esakan beliau amat menyentuh hati, menyebabkan kami para jemaah turut menangis teresak- esak. Bacaan 'Amin' selepas Al-Fatihah didalam rakaat ke-2 selalunya bergema kuat di Masjid Nabawi tetapi bukan di Subuh itu. Kami semua masih berusaha untuk menahan esakan yang berterusan.
  • Saya berpeluang untuk berkenalan dengan 44 orang jemaah lain didalam kumpulan umrah. Semuanya baik- baik & peramah belaka. Setelah hampir 2 minggu bersama, kami sudah seperti sahabat lama terutamanya dengan sahabat- sahabat kecil saya, Miss Wawa & Miss NH.
  • Mutawwif- mutawwif kami, sama ada yang mengiringi kami dari Malaysia, ataupun yang menunggu di Mekkah amat menyenangkan. Mereka berusaha bersungguh- sungguh bagi memastikan perjalanan kami selesa & selamat dan membantu memastikan kami melaksanakan ibadah dengan betul & sempurna. Terima kasih menggunung kepada Ustaz Hassan, Ustaz Ab. Razak, Ustaz Muhammad & Hj. Fatah dan kepada semua pekerja- pekerja hotel yang baik hati.
Si comels bermain pasir di pantai Laut Merah
Akhirnya,  selesai juga entri ini setelah sebulan berlalu. Semoga pengalaman yang saya kongsikan disini sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran tentang apa yang akan ditempuhi di Mekah & Madinah. Jagalah akhlak sewaktu disana dan gunakanlah sepenuhnya setiap waktu yang terluang untuk beribadat.

Sebelum saya menutup entri ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih teman saya Miss T yang banyak bersabar dengan kerenah saya selama 2 minggu perjalanan umrah kami. Mohon maaf ye Miss T apa- apa yang tersilap kata, tersalah laku, terkasar bahasa, termakan & terminum :) Semoga persahabatan kita semakin utuh selepas ini. Amin.

Semoga saya dan semua jemaah- jemaah yang telah atau akan menunaikan umrah akan dikurniakan umrah yang maqbul oleh Allah s.w.t.

3 comments:

Aida Salleh said...

Seronok membaca catatan Anom walaupun ada sedikit perasaan irihati (huhuhuhuuu). Ramai kawan-kawan dah menjejakkan kaki ke sana. Harap2 dapatlah aida mengikut jejak langkah korang dalam tempoh terdekat. Amin....

Unknown said...

alhamdulilah moga2 diberkati Allah hendaknye , Amin

Unknown said...

bykkan berdoa insyallah Allah pasti menjemput ke Baitullah